Dengan ekonomi sekarang, ramai yang ingin berjimat termasuklah jimat dalam pembayaran bil. Di sini kami kongsi tips bagaimana untuk berjimat dalam bil elektrik.
TUKAR KEPADA MENTOL JIMAT TENAGA
Mentol jimat tenaga adalah salah satu mentol yang murah dan dapat jimatkan elektrik anda dalam jangka masa yang panjang. Di pasaran sekarang terdapat pelbagai jenis dan jenama mentol jimat tenaga. Anda perlu buat sedikit kajian tentang jenis dan jenama yang sesuai dengan rumah anda.
TUTUP SUIS APABILA TIDAK DIGUNAKAN
Segelintir daripada kita masih lagi jadikan pembaziran elektrik sebagai satu tabiat. Ini berpunca daripada disiplin individu itu sendiri.
Anda digalakkan untuk menutup semua suis lampu apabila anda tidak menggunakannya. Cara ini dapat banyak jimatkan elektrik anda.
CABUT PLUG APABILA TIDAK DIGUNAKAN
Cara ini bukan sahaja dapat jimatkan elektrik, malah ia juga adalah salah satu cara yang selamat untuk elak daripada sebarang kemalangan yang tidak diingini. Jika anda sering menggunakan mesin basuh dan televisyen, anda tidak perlu untuk cabut plug setiap hari, tetapi sekurangnya anda perlu tutup suis plug tersebut apabila tidak digunakan.
JANGAN BIARKAN TELEVISYEN MENJADI TEMAN TIDUR ANDA
Mungkin ramai daripada kita biasa menonton televisyen sebelum tidur. Tetapi, jangan jadikan ia sebagai satu pembaziran. Pastikan anda tutup tv sebelum anda tutup mata.
GUNA PENDINGIN HAWA APABILA PERLU
Anda juga boleh membuat tetapan masa automatik pada penghawa dingin. Ini sedikit sebanyak dapat kawal penggunaan penghawa dingin anda. Selain berjimat, penggunaan penghawa dingin secara kerap juga tidak bagus untuk kesihatan kulit anda. Sayangi kulit dan wang anda.
GOSOK BAJU SECARA PUKAL
Menggosok baju dalam kuantiti yang banyak dapat kurangkan penggunaan elektrik anda. Jika anda kerap menggunakan sterika pada tiap minggu, ia akan menyebabkan kenaikan bil yang mendadak.
PEMILIHAN BARANGAN JIMAT ELEKTRIK
Pada masa kini, terdapat pelbagai jenis barangan elektrik yang menyediakan barangan yang mampu jimatkan elektrik rumah anda. anda perlu dapatkan nasihat daripada pakar di kedai-kedai barangan elektrik untuk pastikan barangan itu sesuai dan anda dapat gunakan ia dengan cara yang betul.
Penggunaan elektrik secara bijak bukan sahaja dapat menjimat duit, maka ia juga dapat menjaga alam sekitar pada masa akan datang.