Sudah hampir separuh bulan umat islam berpuasa dan sudah semestinya kebanyakkan sudah mula membeli dan mengira bajet untuk persediaan menyambut raya yang tidak lama lagi akan menjelma.
Dalam isu berbelanja, Sekiranya anda bijak dalam mengatur perbelanjaan, ia bukan sahaja akan “menyelamatkan” kocek anda, malah anda juga akan lebih gembira menyambut raya tahun ini. Berbelanjalah mengikut kemampuan dan bukannya mengikut kemahuan. Cara terbaik untuk memastikan anda tidak boros berbelanja ialah dengan membuat bajet ataupun pelan perbelanjaan.
Cara membuat bajet perbelanjaan hari raya adalah pertama sekali, anda perlu membandingkan antara jumlah pendapatan dan jumlah perbelanjaan. Kira jumlah pendapatan anda dengan menyenaraikan jumlah pendapatan isi rumah jika anda sudah berkahwin ( suami + isteri ) dan juga pendapatan-pendapatan lain sekiranya ada seperti sewa rumah, dividen dan sebagainya.
Selepas itu, kira pula perbelanjaan pada hari raya tahun ini seperti belanja untuk kuih-muih, baju raya, duit raya, dan lain-lain. Sekarang, bandingkan antara jumlah pendapatan dengan jumlah perbelanjaan anda. Yang mana satu lebih banyak, pendapatan atau perbelanjaan?
Sekiranya jumlah pendapatan melebihi jumlah perbelanjaan, ianya mungkin tidak akan menjadi suatu masalah. Namun, jika pendapatan anda kurang daripada jumlah perbelanjaan yang diperlukan, anda perlu buat sesuatu. Cuba lihat contoh di bawah :
Jumlah Pendapatan
Gaji Suami: RM2,000,
Gaji Isteri: RM1,000,
Lain-lain: TiadaJUMLAH: RM3,000
Jumlah Perbelanjaan
Bayar rumah: RM800
Bayar kereta: RM500
Bayar bil: RM200
Kuih raya: RM500
Balik kampung: RM500
Duit raya: RM1,000
Baju anak-anak: RM500
Baju melayu suami: RM200
Baju kurung isteri: RM400JUMLAH: RM4,600
Dalam contoh di atas, kelihatan jelas bahawa perbelanjaan adalah melebihi pendapatan. Adakah anda juga turut mengalami masalah yang sama? Apa yang perlu dibuat sekarang adalah anda perlu memilih apa yang betul-betul perlu dan anda mestilah menyingkirkan perbelanjaan yang tidak perlu.
Dalam proses ini, anda perlu mengenal pasti dua jenis perbelanjaan iaitu perbelanjaan tetap dan perbelanjaan tidak tetap. Perbelanjaan tetap ialah perkara-perkara yang perlu dibayar seperti ansuran rumah, kereta dan bil-bil yang sememangnya perlu dibayar setiap bulan. Perbelanjaan tidak tetap pula ialah perbelanjaan lain-lain di mana ia mengikut budi bicara anda ataupun kata lainnya ianya merupakan keinginan anda dan bukannya keperluan.
Apa yang boleh anda lakukan adalah anda perlu mengurangkan perbelanjaan yang tidak tetap iatu keinginan anda. Pastikan anda membincangkan dan menyenaraikannya bersama-sama dengan ahli keluarga anda yang lain. Peranan anda di sini adalah bentangkan kepada mereka jadual pendapatan dan perbelanjaan tersebut dan terangkan situasi yang sebenar kepada mereka.
Di dalam sesebuah keluarga, anda tidak perlu memendam masalah kewangan seorang diri, sebaliknya anda perlu berkongsi bersama-sama dengan suami atau isteri bersama anak-anak agar mereka memahami keadaan kewangan anda dan seterusnya tidak meminta perkara yang bukan-bukan yang turut menjurus kepada masalah terlebih perbelanjaan.
Jika amalan ini belum lagi menjadi suatu kebiasaan, tiada salahnya untuk bermula sekarang daripada menyesal di kemudian hari. Mana tahu, mereka mempunyai idea yang menarik untuk membantu anda atau lebih baik lagi, mungkin anak-anak bersedia memakai baju raya tahun lepas yang masih elok lagi.
Setelah membuat bajet, perlu pastikan yang anda mengikutinya. Ia bukan mudah, tambahan lagi pada musim perayaan. Ramai orang yang rambang mata apabila pergi membeli-belah. Bagi memastikan ini tidak berlaku, anda disarankan untuk menulis senarai barang yang ingin dibeli sebelum keluar membeli-belah kerana ini akan membantu anda untuk mengekang nafsu ketika berbelanja.
Selepas menyenaraikan bajet anda , berikut merupakan tips-tips yang perlu anda ikuti.
1. Jangan Mengikut Orang Lain / Jangan Ikut Trend
Ketika berbelanja, belilah barang yang betul-betul perlu sahaja dan bukannya kerana anda berada dalam“mood” hari raya. Ramai orang yang terpengaruh dan membuat belian yang tidak diperlukan kerana semua orang membeli baju baru, menukar perabot baru dan sebagainya. Budaya“mengikut orang lain” perlulah dikikis kerana ianya tidak akan memberikan sebarang faedah. Orang yang paling arif mengenai keadaan kewangan dan keperluan anda ialah anda sendiri dan bukannya orang lain.
2. Elakkan Berhutang
Ada orang yang sanggup berhabis wang ringgit untuk beraya ‘sakan’. Tidak cukup dengan duit gaji, ada pula yang sanggup menggunakan kad kredit dan membuat pinjaman peribadi semata-mata untuk memastikan raya tahun ini yang paling meriah. Tabiat ini perlulah dijauhi kerana tidak ada gunanya bergaya di hari raya, tetapi pokai selepas raya. Hutang sebegini akan membebankan anda untuk masa yang lama, sedangkan anda hanya mahu beraya untuk waktu yang singkat.
3. Jangan Membazir Dan Amalkan Sikap Berjimat-cermat
Tabiat membeli juadah di pasar Ramadhan yang berlebihan haruslah ditinggalkan. Kawal keinginan supaya anda tidak membeli makanan berlebihan yang akhirnya dibuang begitu sahaja. Sebaik-baiknya, senaraikan dahulu makanan yang ingin dibeli sebelum pergi ke pasar Ramadhan.
Selain itu, anda juga boleh cuba mengelakkan berbuka secara bufet di hotel bersama seluruh ahli keluarga kerana ia mungkin menjadi suatu pembaziran apabila anda tidak mampu menghabiskan makanan yang disediakan, sedangkan anda membayar harga yang mahal untuk menikmati juadah tersebut.
4. Guna Kembali
Jika dibelek-belek koleksi lama pakaian anda, pasti ada baju yang masih elok dan boleh diguna pakai di hari raya. Tambahan pula, sebab rajin berpuasa dan bersenam, mungkin anda sudah hilang berat badan dan baju lama tersebut boleh dipakai kembali. Apa yang penting adalah untuk anda mix and match dan pandai menggayakannya. Samalah juga dengan perabot atau langsir rumah anda, ganti apabila ia sudah pudar atau betul-betul tidak boleh digunakan lagi.
5. Buat Pembelian Bijak
Ketika berbelanja, pastikan anda membuat perbandingan harga dan kualiti. Seelok-eloknya, beli barang-barang persiapan raya awal-awal lagi iaitu sebelum menjelangnya bulan Ramadhan. Ini kerana ada segelintir peniaga yang menaikkan harga barang apabila tibanya musim perayaan dan tidak kurang juga yang sanggup menyembunyikan barang (terutamanya barangan runcit) bagi menaikkan harga barang. Sekiranya anda beli awal, persoalan ini tidak akan timbul dan anda juga tidak berada dalam keadaan terdesak untuk membeli