Jika anda perasan, sejak kebelakangan ini cuaca di Malaysia terlampau panas dan kadangkala boleh cecah hingga 33 darjah celcius.
Ini disebabkan oleh Taufan Lan yang menggegarkan Filipina pada minggu lalu ia sedikit sebanyak beri kesan kepada semenanjung Malaysia.
Menurut Profesor Klimatologi dan Oseonagrafi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Fredolin Tangang, badai taufan itu ibarat menghempaskan ‘ekor’ ke Sabah, Labuan dan Sarawak sehingga menyebabkan hujan lebat dan angin kencang berterusan di kawasan berkenaan.
“Di Sabah Sarawak, kedua-duanya mengalami hujan lebat dan angin kencang yang disebabkan oleh peralihan kelembapan udara Semenanjung yang diangkut ke kawasan berdekatan dengan taufan. Manakala semenanjung pula mengalami kurang berawan, cuaca tidak stabil dan suhu panas.”
Walau bagaimanapun, Prof Fredolin menafikan dakwaan Taufan Lan akan melanggar Sabah kerana pergerakan taufan itu dilaporkan sudah menghampiri Okinawa, Jepun.
Cuaca panas ini juga diramalkan akan berterusan sehingga minggu depan.
Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan untuk berwaspada dengan sentiasa pantau keadaan cuaca semasa. Untuk mendapatkan maklumat yang sahih anda boleh melayari laman sesawang MetMalaysia, www.met.gov.my
Orang ramai juga boleh memeriksa amaran cuaca daripada aplikasi mobil myCuaca atau layari media sosial MalaysiaMet:
Facebook: Malaysia Met
Twitter: @malaysianmet
Atau menghubungi MetMalaysia Hotline di talian 1-300-221-638