Seperti yang diketahui semua, perkahwinan merupakan sesuatu perkara yang sangat indah. Namun sebelum mendirikan sesebuah masjid, perlu ada cara dan langkah yang tertib demi menjamin kebahagiaan yang berkekalan dan juga sebagai memohon restu daripada keluarga mentua agar mendapat keizinan untuk menjalinkan kemesraan antara dua pihak dari pihak lelaki dan juga pihak perempuan.

Berikut kami kongsikan tip – tips yang perlu dilakukan berdasarkan pengalaman-pengalaman yang di alami bagi semua bakal pengantin yang akan mendirikan singgahsana bersama yang tercinta setelah anda merancang untuk bertemu dengan bakal mertua anda . Anda perlu belajar cara untuk mengambil hati mertua walaupun anda hanya seorang calon agar disayangi mertua selalu.

 

 

  • Memberi Pujian.

    Sama ada bakal mertua anda mempunyai hiasan dalaman rumah yang cantik ataupun sama ada mereka mempunyai koleksi barangan antik yang mengkagumkan anda , anda boleh mulai dengan memberi pujian yang ikhlas beserta senyuman bagi menunjukkan bahawa anda sebenarnya telah memberi perhatian tentang apa yang diminati oleh bakal mertua anda dan ini merupakan permulaan yang baik daripada jika anda hanya diam memerhati .

 

  • Berpakaian Sopan

    Berpakaian sopan merupakan perkara paling penting untuk diberi perhatian kerana pemakaian anda melambangkan diri anda yang baik kepada bakal mertua anda . Seeloknya elakkan baju yang seksi ataupun jarang kerana ianya bakal membuatkan persepsi diri mereka terhadap anda berubah serta merta . Bagi lelaki pula , berpakaian kemas dan rambut anda haruslah kemas untuk memberi mereka tanggapan yang baik tentang diri anda .

  • Bawa Buah Tangan

    Buah tangan merupakan suatu simbol penghargaan dari anda ke pihak bakal mertua anda . Ianya juga dapat dijadikan topik perbualan sesama anda sebagai contoh , jika anda membawa kek lapis sebagai buah tangan , bakal mak mertua anda mungkin akan menanyakan perihal di mana anda membelinya ataupun menanyakan resepinya jika ianya dibuat oleh anda sendiri . Jalan yang paling selamat adalah dengan membawa buah – buahan , sebelum itu anda haruslah bertanya kepada pasangan tentang buah kesukaan bakal mertua anda itu .

  • Banyakkan Bertanya

    Salah satu cara lain untuk menambat hati mertua anda adalah dengan banyakkan bertanya perihal mereka tetapi anda perlu berhati – hati agar tidak menyentuh tentang hal – hal sensitif . Ini kerana apabila anda bertanya , ianya telah menunjukkan bahawa anda bersungguh untuk menjadi sebahagian daripada keluarganya dan ini akan membuatkan mereka gembira.

  • Pandai Membuka Bicara

    Seeloknya anda perlu menjadi seorang pembuka bicara sebelum bakal mertua anda . Ini akan memberi tanggapan bahawa anda sebenarnya bersungguh – sungguh untuk mencipta perbualan antara anda dan mertua anda . Jika anda tidak tahu hendak memulakan dengan apa kerana mempunyai rasa kejanggalan, anda boleh memulai dengan bertanyakan tentang perihal cuaca nescaya perbualan itu akan menjadi panjang ,

    Akhir kata , apa yang penting adalah niat anda yang murni untuk menambat hati mertua. Banyakkan berdoa sebelum pertemuan dan biarkan proses pertemuan berjalan secara semulajadi dan lancar . Sentiasa tenang di dalam setiap situasi kerana ini akan menyakinkan mereka untuk menjadikan anda menantunya .